'Wahai orang-orang yang ingin bebeas dari segala mara bahaya dan yang ingin beribadat dengan benar, semoga Allah melimpahkan taufiq-Nya kepada kita. Dengan itu, wajib ke atas kita membekalkan diri dengan ilmu. Ini kerana, beribadat tanpa ilmu adalah sia-sia, kerana ilmu adalah punca kepada segala perbuatan'
Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al Ghazali
Perlu diketahui, ilmu dan ibadat adalah dua perkara yang saling berkait. Hal ini kerana, pada dasarnya, segala yang kita lihat, dengar dan pelajari adalah untuk ilmu dan ibadat. Firman Allah :
"Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan Bumi seperti itu ; perintah Allah berlaku terus menerus antara alam langit dan Bumi. Supaya kamu mengetahui sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu" at-Thalaaq : 12
Dengan merenung keindahan langit dan bumi, diharapkan kita akan memperoleh ilmu darinya. Dengan meneliti ayat di atas, sudah cukup jelas untuk membuktikan bahawa ilmu itu mulia. Lebih-lebih lagi ilmu tauhid kerana dengannya kita dapat mengenal Allah dan sifa-sifat-Nya.
Firman Allah
"Dan ingatlah, Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu" az-Zaariyat : 56
Perkara ini menunjukkan betapa mulianya ibadat dan ayat di atas cukup membuktikan tentang kemuliaannya serta kewajipan untuk sentiasa menjalankan ibadat. Sungguh besar erti ilmu dan ibadat kepada kehidupan dunia dan akhirat. Maka, wajiblah ke atas kita untuk hanya mengejar ilmu dan menjalankan ibadat dan melupakan perkara-perkara lain yang batil. Hal ini kerana, dalam ilmu dan ibadat sudah terkandung segala urusan dunia dan akhirat.
Membangunkan negara dan mencipta kemakmuran juga termasuk ibadat jika dilaksanakan kerana Allah. Jadi, bersama ilmu dan ibadat, kita dapat mencapai kebahagiaan dunia dengan kemajuan dunia yang sihat dan bukan yang menyesatkan, juga kebahagiaan di akhirat.
Allahua'lam..
Rujukan daripada Minhajul Abidin Wasiat Imam Ghazali, Bab Peringkat Ilmu dan Ma'rifat.
"Sekali-kali tidak, demi bulan dan malam ketika telah berlalu, dan subuh apabila mulai terang. Sesungguhnya Saqar itu adalah salah satu bencana yang amat besar, sebagai ancaman manusia"al-Muddatstsir : 32-36
Pemandangan yang berupa bulan, malam ketika telah berlalu, dan subuh ketika mulai terang, semuanya merupakan pemandangan yang memberi kesan dan seolah-olah berbicara kepada hati manusia, membisikkan banyak rahsia, dan membangkitkan perasaan manusia. Dengan isyarat ini, Al-Qur'an menyentuh tempat-tempat persembunyian perasaan dan rahsia yang terdapat dalam hati yang dibicarakan ini, kerana ia tahu akan jalan selok belok ke dalamnya.
Akan tetapi, sedikit sekali hati yang mau menyedari pmandangan yang berupa rembulan ketika ia terbit, berjalan dan terbenam. Kemudian, ia tidak memikirkan sedikit pun tentang bulan yang membisikkan rahsia alam ini kepadanya. Merenungkan cahaya bulan itu sendiri kadang kala bisa membersihkan hati. Sedikit sekali hati yang ingin sedar terhadap pemandangan malam ketika ia berlalu dan suasana keheningan yang mendahului terbitnya fajar, dan pada saat dimulainya, dengan membuka mata. Kemudia tidak tergores sedikit pun bekas dari pemandangan ini, dan tidak pula meresap ke dalamnya getaran-getaran yang lembut dan halus.
Sedikit sekali hati yang sedar terhadap waktu subuh ketika ia mulai terang dan jelas, kemudian tidak berkilau kerana pancarannya, dan tidak berubah dan tidak berganti perasaannya dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, yang menjadikannya lebih layak menerima cahaya yang memancar dalam hati bersama cahaya yang bersinar pada pemandangan.
Allah yang menciptakan hati manusia mengetahui bahawa pemandangan-pemandangan itu sendiri pada waktu-waktu tertentu menciptakan keajaiban-keajaiban, seakan-akan menciptakan suasana baru.
Di sebalik pancaran-pancaran, sinar dan cahaya yang terdapat pada bulan, pada malam, dan pada waktu subuh, terdapat hakikat yang mengahumkan dan luar biasa yang akal fikiran manusia diarahkan dan diingatkan kepadanya oleh Al-Qur'an. Terdapat juga petunjuk yang menunjukkan adanya kekuasaan yang mencipta dan kebijaksanaan yang mengatur, kekuasaan Ilahi terhadap alam semesta ini, dengan kelembutan yang mengasyikkan pandangan akal.
'Sesungguhnya Saqar itu adalah salah satu bencana yang amat besar, sebagai ancaman manusia'
Neraka Saqar, dan tentera yang menjaganya, serta akhirat adalah salah satu dari urusan-urusan besar yang menakjubkan dan menakutkan manusia, dengan adanya bencana besar di belakangnya. Semuanya mengetuk hati manusia dengan keras, dengan segenap suara yang ditinggalkan dalam perasaan.
Allahua'lam..
Rujukan daripada Jilid 12 Tafsir Fi Zhilalil Qur'an
'Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah' al-Ahzab : 21
Tujuan mengkaji Sirah Nabawiyyah bukan sekadar mengetahui peristiwa-peristiwa sejarah yang mengungkapkan kisah-kisah dan kasus yang menarik. Kerana itu, tidak sepatutnya kita menganggap kajian Fiqh Sirah Nabawiyah sama seperti kajian sejarah, sebagaimana kajian tentang sejarah hidup seorang khalifah, pemimpin atau sesuatu periode sejarah yang telah silam.
Tujuan mengkaji Sirah Nabawiyah ialah agar setiap Muslim memperoleh gambaran tentang hakikat Islam secara sempurna, yang tercermin di dalam kehidupan Nabi s.a.w, sesudah ia difahami secara konsepsual, sebagai prinsip, kaedah dan hukum. Sirah Nabawiyah hanya merupakan upaya aplikatif yang bertujuan memperjelas hakikat Islam secara utuh dalam keteladanannya yang tertinggi ; Muhammad s.a.w. Bila kita perincikan, maka dapat dibatasi dalam beberapa sasaran berikut :
1. Memahami peribadi kenabian Rasulullah s.a.w melalui celah-celah kehidupan dan kondisi-kondisi yang pernah dihadapinya, untuk menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w bukan hanya seorang yang terkenal dalam kaumnya, tetapi sebelum iu, beliau adalah seorang Rasul yang didukung oleh Allah dengan wahyu dan taufiq dari-Nya.
2. Agar manusia mendapatkan gambaran al-Matsal al-'Ala (contoh ideal) menyangkut seluruh kehidupan yang utama untuk dijadikan undang-undang dan pedoman kehidupan. Tidak diragukan lagi, betapapun manusia mencari matsal a'la mengenai salah satu aspek kehidupan, dia pasti akan mendapatkannya dalam kehidupan Rasulullah s.a.w secara jelas dan sempurna. Kerana itu, Alah menjadikannya qudwah bagi seluruh manusia.
3. Agar manusia mendapatkan, dalam mengkaji Sirah Rasulullah ini, sesuatu yang dapat membantunya untuk memahami kitab Allah, semangat dan tujuannya. Hal ini kerana, banyak ayat-ayat al-Qur'an yang baru bisa ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya melalui peristiwa-peristiwa yang pernah dihadapi Rasulullah s.a.w dan sikap baginda terhadapnya.
4. Melalui kajian Sirah Rasulullah s.a.w ini, seorang Muslim dapat mengumpulkan sekian banyak tsaqafah dan pengetahuan Islam yang benar, baik menyangkut bab aqidah, hukum hakam mahupun akhlak. Hal ini kerana, tidak diragukan lagi bahawa kehidupan Rasulullah s.a.w merupakan gambaran yang konkrit dari sejumlah prinsip hukum Islam.
5. Agar setiap pembina dan da'ei Islam memiliki contoh hidup menyangkut cara-cara pembinaan dan da'wah. Adalah Rasulullah s.a.w seorang da'ei, pemberi nasihat dan pembina yang baik, yang tidak segan-segan mencari cara-cara pembinaan dan pendidikan terbaik selama beberapa fasa da'wahnya.
Antara hal terpenting yang menjadikan Sirah Rasulullah s.a.w cukup memenuhi semua sasaran ini ialah, bahawa seluruh kehidupan bagina mencakup seluruh aspek sosial dan kemanusiaan yang ada pada manusia, baik peribadi mahupun anggota masyarakat yang aktif.
Kehidupan Rasulullah s.a.w memberikan kepada kita contoh-contoh mulia, baik sebagai pemuda Islam yag lurus perilakunya, dan terpercaya antara kaum kerabat, atau sebagai da'ei kepada Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik, yang menyerahkan segala kemampuan untuk menyampaikan risalahnya. Juga sebagai kepala negara yang mengatur segala urusan dengan cerdas dan bijaksana, sebagai suami teladan dan seorang ayah yang penuh kasih sayang, sebagai panglima perang yang mahir, sebagai negarawan yang pandai dan jujur, dan sebagaiMuslim secara kesuluruhan (kaffah) yang dapat melakukan secara seimbang antara kewajipan beribadah kepada Allah dan bergaul dengan keluarga dan sahabatnya dengan baik.
Maka, kajian Sirah Nabawiyah tidak lain hanya menampakkan aspek-aspek kemanusiaan ini secara keseluruhan, yang tercermin dalam suri teladan yang paling sempurna dan terbaik.
Allahua'lam.
Sumber dari Buku Sirah Nabawiyah : Kajian Mendalam Manhaj Gerakan Islam Pada Masa Rasulullah S.A.W, oleh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buthy.
"Apabila ditiup sangkakala, maka waktu itu adalah waktu (datangnya) hari yang sulit bagi orang-orang kafir lagi tidak mudah" (al-Muddatstsir : 8-10)
'An-naqr fin-naaquur' (tiupan sangkakala), ia diungkapkan dalam beberapa tempat dalam Al-Qur'an dengan ungkapan lain yang berbunyi 'An-nafkh fish-shuur'. Akan tetapi, ungkapan 'naqr' ini lebih mengesankan kerana kerasnya suaranya dan gemanya, seakan-akan pengukiran yang bersuara dan berbunyi, dan suara yang mengukir di telinga itu lebih mengena daripada suara yang cuma didengar oleh telinga. Oleh kerana itu, disifatilah hari itu sebagai hari yang sulit bagi orang-orang kafir dan kesulitan itu dipertegas lagi dengan tidak adanya bayang-bayang kemudahan di sana.
'Bagi orang-orang kafir, lagi tidak mudah'
Kesulitannya adalah bersifat total, menyeluruh. Kesulitan yang tidak ada celah-celah kemudahannya, kesulitan yang tidak dipisahkan oleh sesuatu pun. Bahkan, perkataan ini dibiarkan bersifat global dan penuh misteri, yang memberi kesan kesedihan, kesusahan dan kesempitan. Kerana itu, alangkah tepatnya kalau orang-orang kafir itu mahu mendengarkan peringatan, sebelum ditiupnya sangkakala yang menakutkan, lalu mereka hadapi hari yang penuh kesulitan dan penderitaan.
Allahua'lam..
Rujukan daripada Jilid 12 Tafsir Fi Zhilalil Qur'an
Setiap entiti di muka bumi ini mempunyai gambaran menyeluruh dalam menegakkan idea. Dari idea mengalirnya tindakan yang membawa kesan kepada entiti. Tidak kira dari sekecil-kecil entiti, yakni seorang insan kepada sebesar-besar entiti berupa gerakan, syarikat, bangsa, dan negara, gambaran menyeluruh, dalam bahasa yang lebih mesra, 'the bigger picture', merupakan elemen yang terpenting dalam entiti tersebut. 'The bigger picture' ini mempengaruhi cara berfikir, penjanaan idea, dan seterusnya tindakan. Sekiranya ia sempit, maka kecillah skop dan tumpullah pembawaannya.
Kita pula, selaku insan yang berfikir, akan berfikir.. Bagaimana pula dengan 'the bigger picture of us'? Dalam buku kompilasi pengurusan bertajuk The Essential Drucker, karangan Peter Drucker, dikupas mengenai 3 elemen asas dalam meneliti prestasi menyeluruh sesuatu organisasi ; hasil semasa (direct results), pembangunan dan pengukuhan nilai-nilai (building of values and their reaffirmation) dan pembangunan sumber manusia untuk masa hadapan (developing people for tomorrow). Artikel kali ini akan lebih membincangkan bahagian ke 3 iaitu penyediaan dan pembangunan generasi masa hadapan yang sedikit sebanyak akan menyentuh berkaitan pelapis masyarakat sebagai entitinya.
Sebelum pergi dengan lebih jauh, apakah mahasiswa seperti saya terlalu muda memikirkannya? Mungkin ya, bagi mereka yang realist, mereka yang memikirkan, cukuplah kiranya mahasiswa ini 'tenang-tenang' sahaja, tidak perlu poyo-poyo. Namun, bagi kita yang masih idealist, kita akan katakan 'tidak', bukan semata-mata kerana darah panas yang dilonjakkan oleh aliran adrenalin, tetapi didasari dengan kesedaran futuristik, melihat kestabilan dan kesejahteraan buat generasi akan datang.
Budaya menyediakan pelapis ini bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita. Ia telah wujud dan bertapak berkurun lamanya, bukti yang paling asas adalah hubungan bapa dan anak, guru dan murid, dan sebagainya. Ada yang secara sedar, langsung dan bersistemnya, 'mentarbiyah' 'protege' ke arah objektif yang ingin dicapai, sama ada yang spesifik mahupun umum. Ada juga proses pentarbiyahan berlaku secara tak langsung dari tangan si mentornya. Budaya yang telah ada harus dipuji, diteliti dan ada ketikanya dilihat dengan kritis dan diperkemas oleh kita semua. Sejauh mana kita 'junjung' budaya ini dan tanamkan ia sebumi yang mungkin? Dan sejauh manakah kita tebarkan, susun rapikan budaya ini agar ia mengambil masa berkurun lamanya untuk malap semula? Soalan ini secara automatik bertapak dalam pemikiran mereka yang telah mempunyai anak, kerana mereka sedar. Bagi mereka yang belum punyai zuriat, kebanyakan dari mereka masih belum merasai elemen ini sedalamnya. Mereka hanya tahu berkata, belum tahu merasa. Golongan mahasiswa berada di pundak golongan ini. Justeru, idea budaya pelapis masyarakat adalah satu cita-cita, aspirasi untuk melihat generasi masa hadapan ini bertatih mempraktikkan budaya pelapis.
Budaya hanya boleh diwujudkan dengan praktik yang berterusan dan diperkemas dengan sistem. Kata-kata dan idea hanya sebagai penjana, namun enjin sebenar adalah berupa aktiviti, program, dan sistem yang bergerak di segenap peringkat untuk membudayakan idea. Kita lihat sendiri bagaimana kerajaan pada suatu ketika dahulu mengetengahkan modal insan sebagai aset paling berharga, membuka mata semua masyarakat yang sebelum ini terlalu berkiblatkan material semata-mata dalam pembangunan negara. Dengan wujudnya sentimen sedemikian dalam bentuk sistem dan program yang dirangka, maka wujudnya budaya yang seolah-olah baru timbul dalam masyarakat khususnya kakitangan kerajaan - 'human-capital centered' ini menjadikan budaya kemanusiaan digemburkan - sentimen anti-rasuah, anti-penindasan dan sebagainya. Sebagai kesan yang lebih besar, sistem Islam yang selaras dengan kemanusiaan, semakin diterima, antaranya sistem perbankan Islam, sistem perundangan Islam dan sebagainya. Apatah lagi kiranya budaya pelapis ini yang sememangnya selari dengan prinsip kemanusiaan diterapkan dalam masyarakat.
Program-program di peringkat sekolah dan pra sekolah yang menerapkan budaya pelapis dipergiat dalam bentuk program-program motivasi, kursus peningkatan skil kendiri dan sebagainya. Namun, yang lebih efektif dan fundamental adalah penyediaan berterusan mentor pembimbing dari pelbagai bidang yang tidak digalaskan di atas bahu guru-guru semata-mata. Doktor sebagai contoh, seharusnya turun ke sekolah secara langsung menjadi mentor kepada anak-anak ini, sama juga seperti kerjaya-kerjaya lain. Sekiranya kita soal diri kita, sejauh manakah keterlibatan kita dengan sekolah atau institusi lama kita? Dalam hal ini, bukan dengan mereka yang telah keluar dan berjaya, tetapi adik-adik atau anak-anak yang masih berada di bangku sekolah atau institusi lama yang pernah menjadi tempat kita dididik. Sejauh manakah kita melihat mereka secara dekat sebagai pelapis masa hadapan? Sejauh manakah kita masih berhubungan dengan guru-guru kita untuk membantu guru-guru mendidik, memberikan aspirasi yang tidak dapat diisi oleh guru. Kapasiti selaku doctor, jurutera, pensyarah university, usahawan dan sebagainya, sebagai professional, menyalurkan visi, sikap, pemikiran yang seharusnya dipunyai oleh adik-adik untuk berada di lapangan yang sama pada masa hadapan.
Kreativiti dan inovasi dalam berorganisasi tidak boleh dipandang enteng dalam membumikan budaya pelapis. Dari dua nilai inilah yang membawakan sesuatu entiti itu sentiasa menerima perubahan dan berevolusi dari masa ke semasa. Ia adalah elemen anti-pupus dalam sesebuah entiti. Syarikat pengeluar kereta Toyota sebagai contoh, meletakkan inovasi sebagai nilai utama dalam memacu teknologi masa hadapan. Tema ‘Innovation, Driving Toward A Better Tomorrow’ yang dipahat dalam visi Toyota, memberi impak yang cukup besar dalam gerak kerja sehingga melonjakkan mereka sebagai sebuah pengeluar kereta yang sentiasa sahaja mempunyai 'teknologi luar jangka' disamping dinobatkan sebagai salah sebuah daripada 10 syarikat di dunia yang memperoleh keuntungan tahunan terbesar. Tanpa kreativiti dan inovasi, generasi seterusnya tidak dapat menikmati bara perjuangan yang dibawa dalam bentuk yang lebih dinamik. Di sini sekali lagi ilmu memainkan peranan yang cukup fundamental sebagai elemen lestari. Hanya dengan ilmu, kreativiti dan inovasi dapat merancakkan sesebuah entiti.
Bagi 'share holder' dan 'policy maker' kepada golongan generasi masa hadapan, sikap yang paling penting adalah 'sabar'. Huraiannya tertakluk kepada suasana, kerana sifat 'sabar' ini luas definisinya. Dalam suasana masyarakat kita yang ada kalanya sentimen 'inferioriti complex' tegar dalam minda, sikap sabar ini boleh dimanifestasikan dengan menghindari budaya mencengkam. Berikanlah kebebasan berfikir kepada golongan pelapis. Psikologi masyarakat kita jarang sekali memuji dan meninggi-ninggikan antara satu sama lain, apatah lagi kepada golongan yang lebih rendah pangkatnya atau muda daripada kita. Bahkan secara senyap mahupun terang-terangan seringkali budaya merendahkan antara satu sama lain menjadi norma masyarakat. Kepada golongan muda khususnya, harapan tidak diluahkan secara jelas, yang mereka ini merupakan pelapis generasi akan datang. Perkara yang sering berlaku adalah golongan ini ditekan dengan kata-kata dan dipenjarakan oleh sistem. Lihat sahaja golongan mahasiswa, akta yang dilihat sebagai pelindung dan pembantu mahasiswa oleh 'share holders' dan 'policy makers' mahasiswa, tidak dipraktikkan oleh mahasiswa seperti yang diidamkan oleh golongan policy makers ini, tetapi hanyalah sebuah akta yang bertindak sebagai fear factor kepada mahasiswa. Ia merenjat seluruh tubuh mahasiswa sehingga ke otaknya, dimomokkan dengan sentimen anti-perjuangan secara senyap. Melalui penjara buatan inilah, golongan pelapis ini, meskipun kita gasakkan dengan gesaan untuk bangun dan bergerak dalam masyarakat, otak mereka masih terpenjara, umpama seorang hamba. Justeru, golongan yang kita kira mahu dijadikan pelapis masa hadapan ini perlu digalakkan pemikiran dan tindakannya, diberikan ruang yang lebih luas untuk bertatih, berbekalkan ilmu pengajaran yang telah diisi di peringkat asas.
Golongan yang melapis ini pula tidak seharusnya bersikap menunggu tongkat dari yang tua. Tongkat hanya bagi mereka yang sakit dan tidak berupaya. Berdiri di kaki sendiri adalah elemen yang memupuk automatism ke arah kesempurnaan. Kita tidak katakan kita harus hidup tanpa bantuan, bantu-membantu adalah lumrah ke arah kehidupan yang sejahtera. Kita juga menerima kepentingan sinergi dalam masyarakat. Namun, sifat berdikari, 'independence' adalah batu asas kepada nilai sinergi dan saling bantu-membantu, 'inter-dependence'. Tanpa pemupukan 'independency', sukar untuk manusia itu jernih dalam 'inter-dependenceship'.
Manfaat golongan muda yang menjadi generasi pelapis tidak dapat diolah semata-mata atas hasil usaha semasa, tetapi juga, harapan yang dibumikan dan cita-cita yang dipacakkan kepada mereka. Pemimpin-pemimpin hebat sentiasa memberikan gambaran masa depan kepada generasi pelapis. Rasullah s.a.w mempamerkan contoh terbaik dalam hal ini. Dalam satu hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah s.a.w bersabda ”Agama ini akan mencapai semua wilayah yang dicapai oleh malam dan siang. Allah akan membuat agama ini memasuki setiap rumah. Seperti halnya keagungan orang yang agung dan kehinaan orang yang hina, demikian Allah akan mengagungkan Islam dan menghinakan kekafiran”. Sejarah perang Salib pula sebagai contoh, khutbah Paus Urbanus II pada tahun 1095 sebelum berlangsungnya perang salib yang pertama, yang berbunyi ; "Telah tersebar sebuah cerita mengerikan, sebuah golongan terkutuk yang sama sekali diasingkan Tuhan, telah menyerang tanah orang Kristian dan memerangi penduduk setempat dengan pedang, menjajah dan membakar. Pisahkanlah daerah itu dari tangan bangsa yang jahat itu dan jadikanlah sebagai milikmu." Bangsa yang jahat yang dimaksudkan pada ketika itu merupakan bangsa Muslim Turki yang bertapak di Jerusalam. Kesan khutbah ini memberikan impak kepada generasi berikutnya yang membawa Perang Salib meleret sehingga mempunyai 7 siri secara rasmi, dan masih berlangsung pada masa kini, yang mana kebanyakan sejarawan dan ahli fikir Islam menggambarkan ia sebagai perang salib moden.
Kesan pendoktrinan gambaran masa hadapan merupakan senjata yang cukup besar maknanya dalam menjadi bekalan aspirasi kepada generasi pelapis, golongan ‘apprentice’. Semangat ‘Apprenticeship’ ini bukan satu galasan tanggungjawab yang dipikul dengan bersahaja oleh kita semua, tetapi ia harus diambil sebagai satu budaya yang perlu dibumikan sepenuhnya oleh semua. Sudah tentu menjadi lumrah manusia untuk melihat entiti masing-masing membawa perubahan yang lebih baik dari masa ke semasa. Tidak lain, kepada golongan pelapis inilah tanggungjawab diberikan. Kalau bukan mereka, siapa lagi?