Friday, October 1, 2010

Pelapis Masa Hadapan



Setiap entiti di muka bumi ini mempunyai gambaran menyeluruh dalam menegakkan idea. Dari idea mengalirnya tindakan yang membawa kesan kepada entiti. Tidak kira dari sekecil-kecil entiti, yakni seorang insan kepada sebesar-besar entiti berupa gerakan, syarikat, bangsa, dan negara, gambaran menyeluruh, dalam bahasa yang lebih mesra, 'the bigger picture', merupakan elemen yang terpenting dalam entiti tersebut. 'The bigger picture' ini mempengaruhi cara berfikir, penjanaan idea, dan seterusnya tindakan. Sekiranya ia sempit, maka kecillah skop dan tumpullah pembawaannya.

Kita pula, selaku insan yang berfikir, akan berfikir.. Bagaimana pula dengan 'the bigger picture of us'? Dalam buku kompilasi pengurusan bertajuk The Essential Drucker, karangan
Peter Drucker, dikupas mengenai 3 elemen asas dalam meneliti prestasi menyeluruh sesuatu organisasi ; hasil semasa (direct results), pembangunan dan pengukuhan nilai-nilai (building of values and their reaffirmation) dan pembangunan sumber manusia untuk masa hadapan (developing people for tomorrow). Artikel kali ini akan lebih membincangkan bahagian ke 3 iaitu penyediaan dan pembangunan generasi masa hadapan yang sedikit sebanyak akan menyentuh berkaitan pelapis masyarakat sebagai entitinya.

Sebelum pergi dengan lebih jauh, apakah mahasiswa seperti saya terlalu muda memikirkannya? Mungkin ya, bagi mereka yang realist, mereka yang memikirkan, cukuplah kiranya mahasiswa ini 'tenang-tenang' sahaja, tidak perlu poyo-poyo. Namun, bagi kita yang masih idealist, kita akan katakan 'tidak', bukan semata-mata kerana darah panas yang dilonjakkan oleh aliran adrenalin, tetapi didasari dengan kesedaran futuristik, melihat kestabilan dan kesejahteraan buat generasi akan datang.

Budaya menyediakan pelapis ini bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita. Ia telah wujud dan bertapak berkurun lamanya, bukti yang paling asas adalah hubungan bapa dan anak, guru dan murid, dan sebagainya. Ada yang secara sedar, langsung dan bersistemnya, 'mentarbiyah' 'protege' ke arah objektif yang ingin dicapai, sama ada yang spesifik mahupun umum. Ada juga proses pentarbiyahan berlaku secara tak langsung dari tangan si mentornya. Budaya yang telah ada harus dipuji, diteliti dan ada ketikanya dilihat dengan kritis dan diperkemas oleh kita semua. Sejauh mana kita 'junjung' budaya ini dan tanamkan ia sebumi yang mungkin? Dan sejauh manakah kita tebarkan, susun rapikan budaya ini agar ia mengambil masa berkurun lamanya untuk malap semula? Soalan ini secara automatik bertapak dalam pemikiran mereka yang telah mempunyai anak, kerana mereka sedar. Bagi mereka yang belum punyai zuriat, kebanyakan dari mereka masih belum merasai elemen ini sedalamnya. Mereka hanya tahu berkata, belum tahu merasa. Golongan mahasiswa berada di pundak golongan ini. Justeru, idea budaya pelapis masyarakat adalah satu cita-cita, aspirasi untuk melihat generasi masa hadapan ini bertatih mempraktikkan budaya pelapis.

Budaya hanya boleh diwujudkan dengan praktik yang berterusan dan diperkemas dengan sistem. Kata-kata dan idea hanya sebagai penjana, namun enjin sebenar adalah berupa aktiviti, program, dan sistem yang bergerak di segenap peringkat untuk membudayakan idea. Kita lihat sendiri bagaimana kerajaan pada suatu ketika dahulu mengetengahkan
modal insan sebagai aset paling berharga, membuka mata semua masyarakat yang sebelum ini terlalu berkiblatkan material semata-mata dalam pembangunan negara. Dengan wujudnya sentimen sedemikian dalam bentuk sistem dan program yang dirangka, maka wujudnya budaya yang seolah-olah baru timbul dalam masyarakat khususnya kakitangan kerajaan - 'human-capital centered' ini menjadikan budaya kemanusiaan digemburkan - sentimen anti-rasuah, anti-penindasan dan sebagainya. Sebagai kesan yang lebih besar, sistem Islam yang selaras dengan kemanusiaan, semakin diterima, antaranya sistem perbankan Islam, sistem perundangan Islam dan sebagainya. Apatah lagi kiranya budaya pelapis ini yang sememangnya selari dengan prinsip kemanusiaan diterapkan dalam masyarakat.

Program-program di peringkat sekolah dan pra sekolah yang menerapkan budaya pelapis dipergiat dalam bentuk program-program motivasi, kursus peningkatan skil kendiri dan sebagainya. Namun, yang lebih efektif dan fundamental adalah penyediaan berterusan mentor pembimbing dari pelbagai bidang yang tidak digalaskan di atas bahu guru-guru semata-mata. Doktor sebagai contoh, seharusnya turun ke sekolah secara langsung menjadi mentor kepada anak-anak ini, sama juga seperti kerjaya-kerjaya lain. Sekiranya kita soal diri kita, sejauh manakah keterlibatan kita dengan sekolah atau institusi lama kita? Dalam hal ini, bukan dengan mereka yang telah keluar dan berjaya, tetapi adik-adik atau anak-anak yang masih berada di bangku sekolah atau institusi lama yang pernah menjadi tempat kita dididik. Sejauh manakah kita melihat mereka secara dekat sebagai pelapis masa hadapan? Sejauh manakah kita masih berhubungan dengan guru-guru kita untuk membantu guru-guru mendidik, memberikan aspirasi yang tidak dapat diisi oleh guru. Kapasiti selaku doctor, jurutera, pensyarah university, usahawan dan sebagainya, sebagai professional, menyalurkan visi, sikap, pemikiran yang seharusnya dipunyai oleh adik-adik untuk berada di lapangan yang sama pada masa hadapan.

Kreativiti dan inovasi dalam berorganisasi tidak boleh dipandang enteng dalam membumikan budaya pelapis. Dari dua nilai inilah yang membawakan sesuatu entiti itu sentiasa menerima perubahan dan berevolusi dari masa ke semasa. Ia adalah elemen anti-pupus dalam sesebuah entiti. Syarikat pengeluar kereta Toyota sebagai contoh, meletakkan inovasi sebagai nilai utama dalam memacu teknologi masa hadapan. Tema ‘Innovation, Driving Toward A Better Tomorrow’ yang dipahat dalam visi Toyota, memberi impak yang cukup besar dalam gerak kerja sehingga melonjakkan mereka sebagai sebuah pengeluar kereta yang sentiasa sahaja mempunyai 'teknologi luar jangka' disamping dinobatkan sebagai salah sebuah daripada 10 syarikat di dunia yang memperoleh keuntungan tahunan terbesar. Tanpa kreativiti dan inovasi, generasi seterusnya tidak dapat menikmati bara perjuangan yang dibawa dalam bentuk yang lebih dinamik. Di sini sekali lagi ilmu memainkan peranan yang cukup fundamental sebagai elemen lestari. Hanya dengan ilmu, kreativiti dan inovasi dapat merancakkan sesebuah entiti.

Bagi 'share holder' dan 'policy maker' kepada golongan generasi masa hadapan, sikap yang paling penting adalah 'sabar'. Huraiannya tertakluk kepada suasana, kerana sifat 'sabar' ini luas definisinya. Dalam suasana masyarakat kita yang ada kalanya sentimen 'inferioriti complex' tegar dalam minda, sikap sabar ini boleh dimanifestasikan dengan menghindari budaya mencengkam. Berikanlah kebebasan berfikir kepada golongan pelapis. Psikologi masyarakat kita jarang sekali memuji dan meninggi-ninggikan antara satu sama lain, apatah lagi kepada golongan yang lebih rendah pangkatnya atau muda daripada kita. Bahkan secara senyap mahupun terang-terangan seringkali budaya merendahkan antara satu sama lain menjadi norma masyarakat. Kepada golongan muda khususnya, harapan tidak diluahkan secara jelas, yang mereka ini merupakan pelapis generasi akan datang. Perkara yang sering berlaku adalah golongan ini ditekan dengan kata-kata dan dipenjarakan oleh sistem. Lihat sahaja golongan mahasiswa, akta yang dilihat sebagai pelindung dan pembantu mahasiswa oleh 'share holders' dan 'policy makers' mahasiswa, tidak dipraktikkan oleh mahasiswa seperti yang diidamkan oleh golongan policy makers ini, tetapi hanyalah sebuah akta yang bertindak sebagai fear factor kepada mahasiswa. Ia merenjat seluruh tubuh mahasiswa sehingga ke otaknya, dimomokkan dengan sentimen anti-perjuangan secara senyap. Melalui penjara buatan inilah, golongan pelapis ini, meskipun kita gasakkan dengan gesaan untuk bangun dan bergerak dalam masyarakat, otak mereka masih terpenjara, umpama seorang hamba. Justeru, golongan yang kita kira mahu dijadikan pelapis masa hadapan ini perlu digalakkan pemikiran dan tindakannya, diberikan ruang yang lebih luas untuk bertatih, berbekalkan ilmu pengajaran yang telah diisi di peringkat asas.

Golongan yang melapis ini pula tidak seharusnya bersikap menunggu tongkat dari yang tua. Tongkat hanya bagi mereka yang sakit dan tidak berupaya. Berdiri di kaki sendiri adalah elemen yang memupuk automatism ke arah kesempurnaan. Kita tidak katakan kita harus hidup tanpa bantuan, bantu-membantu adalah lumrah ke arah kehidupan yang sejahtera. Kita juga menerima kepentingan sinergi dalam masyarakat. Namun, sifat berdikari, 'independence' adalah batu asas kepada nilai sinergi dan saling bantu-membantu, 'inter-dependence'. Tanpa pemupukan 'independency', sukar untuk manusia itu jernih dalam 'inter-dependenceship'.

Manfaat golongan muda yang menjadi generasi pelapis tidak dapat diolah semata-mata atas hasil usaha semasa, tetapi juga, harapan yang dibumikan dan cita-cita yang dipacakkan kepada mereka. Pemimpin-pemimpin hebat sentiasa memberikan gambaran masa depan kepada generasi pelapis. Rasullah s.a.w mempamerkan contoh terbaik dalam hal ini. Dalam satu hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah s.a.w bersabda ”Agama ini akan mencapai semua wilayah yang dicapai oleh malam dan siang. Allah akan membuat agama ini memasuki setiap rumah. Seperti halnya keagungan orang yang agung dan kehinaan orang yang hina, demikian Allah akan mengagungkan Islam dan menghinakan kekafiran”. Sejarah perang Salib pula sebagai contoh, khutbah Paus Urbanus II pada tahun 1095 sebelum berlangsungnya perang salib yang pertama, yang berbunyi ; "Telah tersebar sebuah cerita mengerikan, sebuah golongan terkutuk yang sama sekali diasingkan Tuhan, telah menyerang tanah orang Kristian dan memerangi penduduk setempat dengan pedang, menjajah dan membakar. Pisahkanlah daerah itu dari tangan bangsa yang jahat itu dan jadikanlah sebagai milikmu." Bangsa yang jahat yang dimaksudkan pada ketika itu merupakan bangsa Muslim Turki yang bertapak di Jerusalam. Kesan khutbah ini memberikan impak kepada generasi berikutnya yang membawa Perang Salib meleret sehingga mempunyai 7 siri secara rasmi, dan masih berlangsung pada masa kini, yang mana kebanyakan sejarawan dan ahli fikir Islam menggambarkan ia sebagai perang salib moden.

Kesan pendoktrinan gambaran masa hadapan merupakan senjata yang cukup besar maknanya dalam menjadi bekalan aspirasi kepada generasi pelapis, golongan ‘apprentice’. Semangat ‘Apprenticeship’ ini bukan satu galasan tanggungjawab yang dipikul dengan bersahaja oleh kita semua, tetapi ia harus diambil sebagai satu budaya yang perlu dibumikan sepenuhnya oleh semua. Sudah tentu menjadi lumrah manusia untuk melihat entiti masing-masing membawa perubahan yang lebih baik dari masa ke semasa. Tidak lain, kepada golongan pelapis inilah tanggungjawab diberikan. Kalau bukan mereka, siapa lagi?

Wallahua’lam…

1 comment:

  1. tahniah.. gaya penulisan yang semakin matang.. sadly it's 1.30 a.m.. no mood to read it deeply..just able to skimming it... tell me bout the content later... zzzzZZZZZZZZZZZz

    ReplyDelete